Kenikmatan Syurga - Dari
Abi Hurairah r.a : Rasulullah s.a.w bersabda: “Berfirman Allah SWT : Aku
sediakan kepada hamba-hambaku yang soleh; apa yang tidak pernah dilihat oleh
mata,tidak pernah terdengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam
fikiran serta hati manusia” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Beberapa Nikmat Syurga Secara Ringkas :
1. Pohon Syurga
Dari Sahl bin Saad r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
((Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pohon yang mana berjalan di bawah bayangnya
seorang penunggang selama seratus tahun, belum lepas dari bayangnya)) Riwayat
Muslim
2. Istana, Khemah dan Kamar Syurga
(Az-Zumar) 20. Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan
mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk
mereka (di dalam syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah;
Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya.
Sabda Rasullah s.a.w : ((Sesungguhnya ahli syurga akan memandang ahli kamar di
atasnya seperti kamu melihat bintang di langit meluncur dari ufuk timur atau
barat, kerana kelebihan di antara mereka)) Para sahabat bertanya: “Itukah
tempat para nabi yang tidak sampai kepadanya orang lain?” Rasulullah bersabda:
((Bahkan – Demi Allah yang nyawaku dalam tanganNya- lelaki-lelaki yang beriman
kepada Allah dan membenarkan para rasul)) Riwayat Muslim
3. Pasar Jumaat
Dari Anas bin Malik r.a , sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
((Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pasar yang akan dikunjungi oleh
penghuninya pada setiap Jumaat. Lalu akan bertiup ke arah mereka angin dari
utara lantas menyapu wajah dan pakaian mereka. Kemudian dia kembali kepada
keluarganya dalam keadaan bertambah keelokan dan kecantikannya…)) Riwayat
Muslim
4. Sungai Syurga
(Muhammad: 15) Sifat syurga Yang telah dijanjikan kepada orang-orang Yang
bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang
tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak
berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang
yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. dan ada
pula untuk mereka di sana Segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan
mereka.
5. Bidadari Syurga
(Ar-Rahman: 56). Dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang
pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), Yang tidak pernah disentuh
sebelum mereka oleh manusia dan jin;
Sabda Rasulullah s.a.w: ((Sekiranya seorang wanita dari bidadari penghuni
syurga menjenguk kepada bumi, nescaya akan menyinari setiap yang ada di
dalamnya dan akan memenuhi keduanya dengan haruman. Sesungguhnya penutup wajah
bidadari di atas kepalanya lebih baik dari dunia dan seluruh isinya)) Riwayat
Tirmizi.
6. Makanan dan Minuman Syurga
(Al-Waaqiah: 20) Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari
jenis-jenis yang mereka pilih,
serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.
# Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Mengatakan Bahawa Penghuni Syurga Akan Dapat
Melihat Allah. Itulah sebaik-baik nikmat syurga!. Semoga Allah mengurniakan
kita kenikmatan melihatNya!
(Al-Qiyaamah: 22) Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman)
berseri-seri; 23. melihat kepada Tuhannya.
#Sabda Rasulullah S.A.W : ((Syurga Dipagari Dengan Perkara Yang Dibenci Dan
Neraka Dipagari Dengan Nafsu)) Riwayat Muslim
src punya-magna